Gambaran keseluruhan siri Megami Tensei

Siri Megami Tensei dianggap unik dikalangan RPG Jepun kerana secara umum, ia berbeza daripada latar-latar "pedang dan sihir" yang digunakan dalam genre tersebut. Judul-judul Megaten seringkali berlatarkan Jepun yang moden atau di masa hadapan, dan mencampur-adukkan elemen-elemen cyberpunk serta perkara ghaib.

Musuh-musuh yang muncul adalah digelar Akuma (悪魔(syaitan, iblis)), jika dibandingkan dengan "raksasa" yang digunakan dalam kebanyakan RPG yang lain. Para pemain boleh merekrut golongan Akuma sebagai rakan seperjuangan, maka ia menjadi Nakama (仲魔(syaitan mesra, homofon untuk 仲間, iaitu rakan seperjuangan)). Para pemain boleh juga menggabungkan beberapa Nakama untuk mencipta Nakama yang lain, dan juga senjata-senjata baru dengan menggabungkan Nakama dengan senjata-senjata.

Para pemain seringkali disoal untuk membuat pilihan-pilihan bermoral atau berfalsafah yang akan mengubah plot serta penghujung permainan video tersebut.

Judul-judul Megaten selalunya menerapkan rujukan-rujukan mitologi: dewa dan makhluk daripada mitologi Norse, Celtic, Judeo-Kristian, Mesir, Cina, Hindu dan Jepun seringkali diperkenalkan, untuk digunakan dalam pertarungan atau direkrut oleh para pemain.